Panduan memohon kerja melalui email


Berikut adalah beberapa perkara penting yang harus anda ambil perhatian sekiranya anda ingin melakukan permohonan pekerjaan melalui email:

1. Guna email profesional untuk memohon kerja;
Sebaiknya pastikan alamat email yang digunakan tidak kelihatan terlalu kebudak-budakan atau tidak profesional. Sebagai contoh, seperti budak_comel@gmail.com atau luckystar96@yahoo.com.

Email yang sebegini akan menggambarkan anda seperti tidak profesional dan lebih malang lagi jika majikan tempat anda membuat permohonan pekerjaan menganggap anda tidak matang.

Sebaiknya anda boleh gunakan nama sendiri untuk tampak lebih profesional. Seperti nurul_chenor@gmail.com atau sekiranya anda ingin menggunakan penambahan nombor atau sebarang simbol lain, contohnya seperti ahmad.faiz93@yahoo.com.

2. Tulis subjek email permohonan kerja dengan betul
Perkara ini seringkali dipandang remeh dalam usaha mohon kerja melalui email.
Malahan, kebanyakan pemohon pekerjaan adakalanya langsung membiarkan ruangan subjek ini kosong. Sedarkah anda bahawa sesebuah syarikat itu menerima ratusan email dalam sehari, bukan hanya email dari anda seorang? Jika anda sedar, maka jangan biarkan ruangan ini kosong.


Pastikan anda mengisi ruangan ini dengan tepat dan padat. Contoh penulisan subjek yang baik adalah seperti “Permohonan kerja untuk ….. (isikan nama jawatan yang ingin anda pohon). Percayalah, apa yang anda lakukan ini pastinya memudahkan dan membantu pihak majikan untuk mengenal pasti tujuan email tersebut dihantar kepada mereka. 

Paling penting, ia juga membantu agar email yang anda hantar dan dilihat oleh pihak yang berkenaan.

3. Siapkan resume dalam .pdf
Apabila anda perlu melampirkan bersama sebarang dokumen seperti resume atau salinan sijil, pastikan anda telah menukar segala dokumen terbabit kepada format PDF, kecuali pihak majikan yang anda pohon ada mengatakan sebaliknya atau sebarang format tertentu.

Namakan dokumen tersebut dengan nama yang bersesuai dan memudahkan pencarian pihak majikan, sebagai contoh, ahmadamranResume.pdf, ahmadamranSijilDiploma.pdf dan seterusnya.

4. Buat cover letter yang menarik untuk memohon kerja
Membuat permohonan melalui email merupakan satu kaedah yang memudahkan semua pihak, sama ada pihak majikan mahupun pihak yang memohon pekerjaan. Tetapi, janganlah apabila sudah diberikan kemudahan, anda mengambil mudah segala aspek.
Seandainya anda membuat permohonan melalui email, dalam ruangan ‘body message’ anda boleh menulis ‘cover letter’ yang bersesuaian.


5. Contoh email minta kerja
Berikut ialah contoh email mohon kerja dalam Bahasa Melayu yang boleh dijadikan panduan. Untuk dalam English, boleh rujuk cleverism.com



Dalam ruangan ini boleh mengisinya dengan penjelasan mengenai tujuan email dihantar, pengenalan diri yang ringkas seperti di mana anda belajar, pengalaman pekerjaan jika ada, serta cuba untuk menaikkan pasaran diri anda dengan kelebihan yang anda miliki.

Pada saat berusaha dengan memohon kerja melalui email ini, apa yang anda tulis adalah bertujuan untuk menaikkan diri anda dalam bersaing bersama calon-calon lain yang turut memohon jawatan ini. Tetapi apa yang penting, pastikan segala maklumat yang diberikan adalah benar dan tepat. Jangan sampai menipu pula!

6. Periksa ejaan sebelum tekan Send
Kesalahan ejaan atau penggunaan huruf besar dan kecil haruslah dielakkan.

Jadi bagi memastikan kesilapan seperti ini tidak berlaku, anda dinasihatkan untuk membaca lebih dari sekali tentang apa yang anda tulis dalam email tersebut.


Periksa segala ejaan, penggunaan tatabahasa, huruf kecil atau besar dan segala dokumen yang dilampirkan adalah dalam keadaan yang baik, menepati apa yang diperlukan dan terhindar daripada kesilapan.

7. Kesilapan dalam memohon kerja melalui email
Ada beberapa perkara yang anda perlu elakkan untuk memohon pekerjaan menerusi email antaranya :
  • Jangan hantar email tanpa format dan perenggan yang kemas – kandungan email perlulah mengandungi perenggan dan susunan yang jelas.
  • Jangan hantar sesuka hati tanpa mengikut format yang diberi, jika diberikan sebarang format.
  • Jangan terus lampirkan resume atausebarang dokumen ke alamat email yang diberi tanpa memaklumkan kepada pihak majikan. Ada masanya terdapat pemohon yang tidak menulis apa pun mengenai kandungan lampiran dan lebih malang lagi jika pihak majikan tidak menyedari mengenai lampiran yang tersedia.
  • Jika diarahkan menghantar resume melalui email, pastikan email yang dihantar tetap mengandungi ‘body message’ menyatakan hasrat anda untuk memohon pekerjaan.
  • Elakkan membuat sebarang rayuan menerusi email. Tunjukkan kematangan anda kepada pihak majikan. Percayalah jika sudah rezeki, pasti anda akan mendapat pekerjaan yang anda mohon.
  • Hindari dari menghantar sebarang dokumen yang bersaiz terlalu besar.

Akhir kata

Diharapkan perkongsian tip di atas dapat memberikan anda gambaran bagaimana cara yang betul untuk membuat memohon kerja melalui email.

Semoga bermanfaat.